Monday, June 21, 2010

Jangan kaitkan Islam dengan keganasan – Presiden Pas

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan pemimpin Umno BN supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan Islam dengan keganasan.

Beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, melabelkan Islam sebagai ganas berdasarkan tindakan beberapa individu, adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan menghina agama sendri.

"Jika ada beberapa individu buat silap dilabelkan dengan Islam, itu satu tindakan tidak bertanggungjawab terhadap agama sendiri," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu ancaman keselamatan yang didakwa dilakukan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang didedahkan baru-baru ini.

Tegasnya, pemimpin negara sewajarnya menjaga nama baik Islam apatah lagi Malaysia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu cermat dalam memberi kenyataan dan tindakan agar Islam tidak disalah faham oleh orang bukan Islam sebagai penaja keganasan.

"Menganggap Islam dikaitkan dengan pengganas adalah termasuk agenda musuh, dan fenomena keganasan tidak boleh dikaitkan dengan Islam.

"Islam adalah agama bersifat sederhana," tegasnya.

Thursday, June 17, 2010

Kuasa Allah : Program Fiesta Kelantan Tak Menjadi & Najib Basah Kuyup Kena Hujan

Malam ini asalnya dijangka mencatat sejarah tertentu bagi Kelantan. PM akan sepentas dengan Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan, menyaksikan perasmian Kelantan Fiesta oleh Baginda Pemangku Raja Kelantan.

Malam ini, sejarah masih tercatat tetapi dengan cara yang sama sekali tidak dijangka.

Bukan sahaja Pemangku Raja tidak berangkat atas apa jua sebab, PM yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kelantan dan kemuncaknya akan merasmikan sendiri event Kerajaan Pusat yang dinamakan Kelantan Fiesta itu di Stadium Sultan Muhammad, pulang awal tanpa sempat menjejakkan kaki ke situ.

MB dan Kerajaan Negeri memutuskan tidak bersama, antara lain kerana pertukaran dari 'agenda bersama' kepada 'hanya agenda Pusat'. Poster One Malaysia menunjukkan PM akan merasmikan acara itu tergantung di sana sini.

Kemuncaknya malam ini, hujan ribut 'menyerang' semua persiapan di Stadium bersejarah itu. Hujan bermula sejak 8.30 malam. Sehingga jam sebelas setengah, ia masih turun renyai-renyai selepas turun dengan lebat sebelumnya.

Orang ramai, atas apa jua sebab, samada kerana hujan dan ribut mahu pun hal yang lain, tidak membanjiri stadium itu seperti lazim berlaku pada acara anjuran Tok Guru sebelum ini. Suku stadium pun tak ada. Lengang.

Tentulah memalukan untuk PM datang berucap dalam suasana hiba seperti itu. Ia bukan lagi kemuncak yang ditunggu tetapi kemuncak yang sangat mengharukan.

Tidaklah ganjil untuk PM memutuskan terus menaiki pesawat pulang ke pangkuan keluarga tercinta.

Tok Pa terpaksa menggunakan Loud Hailer kerana Sound System gagal berfungsi

Datuk Mustapa terpaksa memikul akibat dari keputusan politik dangkal mengenepikan Kerajaan Negeri dan tetamu kehormat lainnya di saat akhir, sehingga akhirnya beliau terpaksa berdiri di hadapan padang yang kosong untuk acara perasmian mengantikan PM. Tugas yang berat. Tak semena-mena, bekalan elektrik pula terputus.

Ketentuan Ilahi nampaknya tidak menyebelahi penganjur, walau apa jua motif mereka.

Saya membuat catatan ini sebagai mengingati besarnya kuasa Ilahi dan eratnya Kelantan dijaga oleh Pengawal langit dan bumi.

Di padang yang mulia kerana telah menyaksikan ratusan ribu manusia telah sujud di atasnya dan tidak kurang pula titisan air mata yang tumpah ketika heningnya hubungan para hamba dengan Sang Pencipta di situ dalam siri-siri solat hajat yang telah berjalan berbelas kali, nyata menunjukkan keramatnya.

Termasuk solat hajat royalti minyak. Solat hajat untuk ummat Palestin. Solat hajat untuk memenangkan perjuangan rakyat.

Nampaknya, padang itu tidak mudah melupakan pihak yang menganiayai rakyat Kelantan tetapi mahu berpesta di atasnya.

Mengenepikan tuan rumah - tentulah bukan langkah bijak. Apa lagi, PM semata-mata bukanlah tarikan besar bagi orang Kelantan untuk memenuhi stadium sebesar itu. Usahkan stadium, dewan biasa pun belum tentu penuh.

Lantaran itulah, langkah awal penganjur ialah berpijak atas kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Bermakna bekerjasama dengan populariti Tok Guru. Dari sana, penetrasi boleh bermula.

Entah apa gerangan dan perhitungan, di saat akhir mereka ingin bersendiri. Sesetengah berkata, 'UMNO tetap UMNO...'.

Ada peluang, mereka mencengkam. Taring UMNO mereka sentiasa tersedia.


Sumber/link

Tuesday, June 15, 2010

Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2.

Friday, June 11, 2010

Pemuda PAS: Jangan baharui lesen premis judi

Dewan Pemuda PAS Pusat (DMPP) menggesa kerajaan negeri Pakatan Rakyat supaya memberi komitmen untuk memerangi jenayah judi dengan tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi di bawah "wilayah penguasaan mereka".

"Lantaran kami yakin, pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat adalah untuk Pakatan Rakyat melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanahair dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamaddun ummah," kata Nasrudin Hasan dalam teks ucapan dasarnya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Beliau juga turut membaca sepotong ayat al-Quran dari Surah Surah al Maaidah, ayat 90 hingga 91 untuk mengukuhkan hujahnya.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan Umno dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi yang keji itu.

"Negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan Umno dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan tauladan kepada mereka," katanya

Nasrudin berkata, dewan itu memberi komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama yang membenarkannya.

"Kini rakyat mula tertanya-tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan Umno dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini .

"Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan menteri agama, penasihat agama dan mufti-mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini," katanya.

Dalam teks ucapannya juga, Nasrudin turut mencadangkan penubuhan pusat dialog antara agama dan peradaban, melalui Lajnah Perpaduan Nasional.

Katanya, pusat ini akan mempergiatkan aktiviti dialog dengan masyarakat bukan Melayu supaya berkongsi harapan dengan PAS ke arah Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan diampunkan oleh Allah.

"Pusat ini juga akan melahirkan lebih ramai pemuda yang akan menyemarakkan lagi kegiatan dialog, selain turut menjalin hubungan dengan badan-badan seumpama itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa seperti The Centre for the Study of Terrorism yang dipelopori oleh Dr Kamal al-Helbawi," katanya.

Nasrudin turut mengajak perwakilan termasuk pencinta Islam dari kalangan agamawan dan NGO untuk menggembleng tenaga bagi "menegakkan keadilan Rabbani dan meruntuhkan kezaliman golongan yang melampaui batas".

"Gemblengan tenaga saudara-saudara semua begitu penting untuk meningkatkan sokongan Melayu-Islam sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus kepada PAS.

"Demikianlah juga kepada para pencinta Islam dari kalangan para agamawan dan NGO. Saya yakin, saudara semua menyedari bahawa Umno bukanlah selayaknya menjadi sandaran untuk mempertahankan Islam sebagai manhaj Rabbani, sebaliknya telah terbukti mengkhianati amanah Allah dan menzalimi rakyat," katanya.

Nasrudin berkata, Umno adalah sebuah bahtera Melayu yang hampir karam, malah disifatkan oleh mantan presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad: “Umno kini telah busuk sehingga ke ususnya”.

"Manakala PAS semakin dilihat bersedia untuk menggalang-ganti kedudukan itu dengan mengajak seluruh masyarakat Melayu kembali kepada manhaj Rabbani yang menjamin kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh manusia.

'Jom sertai PAS'

"Maka dengan ini, saya juga mengambil kesempatan menyeru kepada Datuk Nakhaie Ahmad, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Ahmad Shabery Chik, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli-ahli Umno yang pernah berkongsi cita-cita menegakkan keadilan berasaskan manhaj Rabbani supaya kembali ke pangkuan perjuangan kita bersama, dengan panggilan Jom Sertai PAS," katanya.

Dalam teks ucapannya juga, Nasrudin turut menggariskan "agenda menyelamatkan negara" antaranya dengan "mengekang penyusupan agen-agen asing khususnya proksi Zionis dari menerobos masuk ke negara".

"Bagi kami, Dewan Pemuda PAS, berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

"Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan pelantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa, betapa pula syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kredibilitinya kerana mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel," katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian itu ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gaza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.

"Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina.

"Terbaru dunia dikejutkan oleh serangan kejam tentera udara Israel ke atas Armada Freedom Flotilla yang sarat dengan bantuan makanan dan ubat-ubatan," katanya.

sumber/link

Monday, June 7, 2010

PAS cadang wujud tentera OIC kawal misi kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar diwujudkan pasukan tentera di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memayungi misi kemanusiaan ke Gaza.

Tegasnya, misi bantuan tersebut mesti diteruskan, namun perlu dipayungi oleh tentera yang diwujudkan oleh OIC atau pihak antarabangsa demi keselamatan anggota misi dan memastikan bantuan sampai ke Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang juga mahukan Malaysia menggunakan pengaruh OIC, NAM dan PBB bagi mengheret pemimpin rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun secara paksa.

Ini, katanya kerana tindakan kejam zionis Israel sejak sekian lama adalah tidak bertamadun, mencabul undang-undang antarabangsa, melampau fitrah kemanusiaan dan lebih teruk daripada binatang.

"Fitrah kemanusiaan ada kesihan belas terhadap manusia bahkan kepada binatang," katanya ketika membahaskan usul mengutuk keganasan rejim zionis Israel di Dewan Rakyat, sebentar tadi. Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Tindakan Israel itu juga, katanya aalah manifestasi ideologi zionisme yang mahu membina sebuah negara Israel agung di bumi Palestin sehingga mengenepikan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mempunyai tanggungjawab bersama sangat besar, ketepikan kepentingan politik, bersatu atas sifat kemanusiaan," katanya lagi.


link/ sumber

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...