Friday, October 29, 2010

 Kerana sokong PR, subsidi baja getah ditarik

GUA MUSANG, 29 Okt: Umno kini benar-benar terdesak dalam misi merampas Kelantan apabila kemarahan mereka dilepaskan kepada masyarakat Cina di Kampung Pulai gara-gara mendirikan pos PAS dan Pakatan Rakyat.

Ramai pekebun masyarakat Tionghua di Kampung Pulai kini dinafi mendapatkan baja subsidi setelah mereka mempamerkan sokongan terbuka kepada calon PAS.

Seorang pekebun yang namanya enggan dikenali berkata, selepas mereka mendirikan pos Pakatan Rakyat di kampung tersebut, senarai namanya dibuang daripada mendapat bantuan subsidi baja getah.

“Nama kami dibuang serta merta dari senarai penerima baja bantuan tanaman getah. Sedangkan sebelum ini bantuan baja diberi tanpa sebarang masalah.

“Ini menggambarkan Umno benar-benar terdesak kerana bantuan baja bukan dari sumber duit Umno sebaliknya hasil cukai yang dibayar rakyat,” katanya kesal, ketika ditemui di sini.

Difahamkan lebih 30 pekebun Cina dinafikan hak mendapat baja tersebut. Setiap tahun mereka mendapat baja yang diagih agensi kerajaan, Risda.

Penduduk Cina di kampung tertua didiami kaum terbabit di Kelantan sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat MCA. Namun pada pilihan raya umum lalu sokongan mereka kepada calon PAS meningkat .

PAS hanya tewas 25 undi di peti undi berkenaan. Jumlah pengundi di situ sebanyak 471 orang.

Bagaimanapun berdasarkan kepada momentum sekarang kelihatan sokongan penduduk Cina semakin bertambah dan cendorong kepada PAS.

Ini dapat dilihat hasil sokongan terbuka mereka terhadap calon PAS. Malah pada majlis makan malam yang dianjurkan DAP di sebuah tokong di kampung berkenaan baru-baru mendapat sambutan luar biasa.

Mereka tidak berganjak mendengar ceramah disampaikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Anuar Tan Abdullah.

Sementara itu lawatan Dr Zulkefli ke perkampungan yang didiami majoriti kaum Cina itu semalam menerima sambutan hangat penduduk tempatan, rata-rata kaum Tionghua.

Lawatan berkenaan turut disertai anggota parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Penyelia Dun Paloh, Hamdan Yusof dan Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Ketika ditemui Nurul Izzah berkata, jentera kempen Keadilan yang datang dari seluruh negara akan berusaha keras menyampaikan mesej kepada masyarakat Tionghua mengenai isu semasa yang berlaku dalam negara sekarang.

“Masyarakat Tionghua di Kelantan mempunyai pendirian politiknya tersendiri kerana mereka sudah lama berada di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dan tahu apa yang telah dilaksanakan bagi manfaat mereka,” kata beliaui.

Menurutnya juga kerjasama jentera Pakatan Rakyat dalam setiap pilihanraya menggambarkan keutuhan parti pakatan sehingga boleh menakutkan Barisan Nasional.

“Kita tengok pergerakan jentera parti kita boleh memberi kelebihan dan keyakinan kepada semua pihak untuk menyokong calon PAS, “ ujarnya.

Nurul Izzah juga berkata, hasil tinjauan ke beberapa penempatan Cina termasuk di Kampung Baru dan Kampung Pulai sokongan terhadap calon PAS memberangsangkan.

Friday, October 22, 2010

Festival busana: NGO, pelajar Islam kecam Rosmah

Semakin ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan tampil membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW pada penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu.

Antaranya, bahagian hal ehwal wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital jika masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.

“Justeru, HELWA ABIM merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya.

“Malah apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival ini nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas,” kata naib presiden Helwa, Fadhlina Siddiq dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam dan ia bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

Dipesta-pestakan

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) juga menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim yang didakwanya jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran sendiri.

"GAMIS mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

"Sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu ini. Dulu umat Islam sangat sensitif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark.

"Kita juga tidak terlepas menyertai perarakkan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya" katanya.

Turut membidas penganjuran Festival Busana Muslim itu adalah Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak yang menyatakan ia tidak wajar dilaksanakan kerana unsur dan konsep fesyen Islam yang dianjurkan oleh Rosmah tidak diperhalusi setiap tindakan yang dibuat.

Nasihat mufti?

“Adakah pesta ini telah dirujuk atau mendapat nasihat daripada mufti-mufti atau penasihat agama?

“Persoalan yang timbul seterusnya pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta ini turut serta atau tidak dalam memastikan pesta yang dianjurkan ini benar-benar mengikut landasan yang digariskan oleh syarak,” kata presidennya Mohd Syahid Mohd Zaini.

Menurut beliau, pesta fesyen yang secara zahirnya yang dianggap nampak Islamik tetapi fesyen pakaian yang dikenakan oleh isteri perdana menteri tidak mengikut cara Islam semasa merasmikan IFF tersebut.

“Kami di peringkat mahasiswa menuntut penjelasan daripada isteri perdana menteri berkenaan perkara ini dan sehubungan itu pihak NGO Islam juga mesti selidik secara terperinci akan hal ini,” kata mmahasiswa Universiti Malaya itu.

Turut membidas tindakan Rosmah, selaku penaung festival busana itu adalah Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam).

Ilman: Jangan jadi 'syaitan bisu'

Dalam satu kenyataan, presidennya, Mohd Azizul Hisham Zulkifli berkata seluruh umat Islam perlu membantah dan mencela IFF ini dan tidak menjadi 'syaitan bisu'.

“Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam?

“Ilman melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.,” katanya dalam satu kenyataan

Katanya, Ilman juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini.

Semalam, dewan pemuda PAS pusat mengumumkan akan berhimpun secara aman di masijid-masid tertentu di seluruh negara, hari ini selepas solat Jumaat sebagai membantah tindakan Rosmah didakwa menghina syariat Islamitu.

"Saya akan mengetuai bantahan terhadap Rosmah di Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan manakala di Masjid kampung Baru (di KualaLumpur) akan diketuai oleh Kamaruzaman Mohamad (exco pemuda PAS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Menurut beliau, tindakan Rosmah selaku penganjur majlis itu sesuatu yang keterlaluan.

Pada festival itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik didakwa diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Tuesday, October 19, 2010

Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan

KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.

Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

“Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

“Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk’ Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat.

Sunday, October 17, 2010

500 sertai demo bantah roboh surau, Pasti

BUKIT KATIL, 16 Okt: Demonstrasi aman anjuran Badan Bertindak Perobohan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Surau Bukit Katil semalam berjaya memberikan gambaran kepada pihak berkuasa bahawa rakyat menolak kezaliman dan penindasan.

Mereka bukannya menolak pembangunan tetapi pembangunan itu mestilah memberikan manfaat serta tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

Tindakan kerajaan BN Melaka yang dilihat sengaja mengambil tapak Pasti dan surau untuk dibuat jalan menimbulkan kemarahan penduduk Kampung Bukit Katil kerana bagi mereka kerajaan boleh mengambil tanah kosong yang ada di kawasan lain untuk dibuat jalan.

Malah tindakan itu juga disifatkan tidak logik kerana jalan yang akan dibina adalah bengkok berbanding cadangan asal yang lebih lurus.

Demonstrasi semalam dikatakan berjaya kerana berjaya mengumpulkan kira-kira 500 orang penduduk setempat dan kawasan sekitarnya termasuk tuan-tuan tanah yang terlibat.

Demo yang diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Bukit Katil petang tadi telah diganggu oleh pihak polis selepas hanya kira-kira lima minit dimulakan.

Polis meminta pihak penganjur menghentikan program tersebut atas alasan mengganggu ketenteraman awam dan tiada permit.

Dalam ucapan ringkas, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mahu berunding dengan rakyat khususnya tuan tanah kepada Pasti dan surau tersebut.

"Rundingan tidak dibuat, tiba-tiba surat sampai untuk beri pampasan. Inilah sikap rakus pihak kerajaan yang jelas tidak mengutamakan rakyat.

“Di sana ada tanah kosong yang boleh diambil untuk buat jalan mengapa tanah di sini yang diambil sedangkan tanah kosong tersebut lebih sesuai tidak melibatkan surau, Pasti dan rumah rakyat," ujarnya bersemangat.

Tindakan itu, katanya adalah perbuatan membalas dendam dan berteraskan politik serta dengki melihat kebangkitan rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek menyifatkan tindakan itu sebagai bukti bahawa kebajikan dan kedaulatan rakyat telah hapus dengan penguakuatsaan Akta Tanah yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat atas nama pembangunan.

"Rakyat sudah tidak ada kuasa dan hak ke atas tanah milik mereka sendiri, bila-bila masa kerajaan boleh ambil dan ianya sukar dicabar di mahkamah," ujarnya.

Semua pemimpin utama PR negeri hadir antaranya Pengerusi DAP, Goh Leong San; Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin.

Thursday, October 14, 2010

Pemuda PAS, siswa turun bantah konsert Lambert

Dewan Pemuda PAS dan aktivis mahasiswa akan turun beramai-ramai ke Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini bagi membantah persembahan konsert artis 'gay', Adam Lambert.

Pegawai media Dewan Pemuda PAS, Fadhil Osman berkata, pihaknya menyeru ahli dan penyokong parti itu supaya turun beramai-ramai bagi menjayakan protes tersebut.

"Kami akan mengedarkan kira-kira 5,000 risalah membantah konsert Adam Lambert," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan satu solat hajat di surau berdekatan stesen STAR Bukit Jalil, diikuti dengan ucapan barisan kepimpinan Pemuda PAS, membantah konsert tersebut.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Solidiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengerahkan kira-kira 500 siswa di sekitar Lembah Klang untuk hadir membantah konsert tersebut.

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman berkata, bantahan malam ini akan diketuai oleh pengerusi majlis politik nasional Gamis, Ahmad Shukri Razak.

Ditanya mengenai bantahan yang sama oleh Pemuda PAS, beliau berkata, perhimpunan anjuran pihaknya itu akan berlangsung secara berasingan.

"Bagaimanapun, kami akan menyertai majlis solat hajat bersama Pemuda PAS," tambahnya.

Mohd Ridzuan berkata, risalah juga akan diedarkan kepada orang ramai yang datang ke konsert tersebut.

"Kira-kira 2,000 risalah membantah konsert itu telah dicetak untuk diedarkan malam ini," tambahnya.

Peserta perhimpunan itu juga akan membawa beberapa kain rentang membantah penganjuran konsert Adam Lambert.

Tuesday, October 12, 2010

Konsert artis 'gay': Pemuda PAS hantar memo bantah

Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum bantahan terhadap Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) kerana meluluskan konsert artis 'gay' Adam Lambert.

Menurut memorandum dua halaman yang ditandatangani oleh timbalan ketuanya Azman Shapawi Abd Rani itu, kerana ia bakal membawa "keruntuhan akhlak masyarakat", khasnya di kalngan anak muda.

"Adam Lambert adalah seorang artis yang secara terbuka, bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseksual tetapi beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya," memorandum itu dipetik.

Konsert sulung Lamber berjudul 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dijadual berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil.

Menurut Azman Shapawi seharusnya peka dengan perkembangan budaya songsang itu kerana di msyarakat Barat sendiri didakwa menolak artis pop Amerika Syarikat itu.

Beliau juga menyatakan kekesalannya kerana pada hari yang sama seorang artis 'nasyid' popular Sweeden Maher Zain mengadakan persembagan di Shah Alam tidak diberikan tempat.

"Fakta dan nasihat yang bagaimana lagi mahu diberikan kepada pihak kerajaan agar menginsafi bahawa program seperti inilah yang akhirnya merosakkan akhlak generasi kita sekali gus membawa budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan fitrah?" soal Azman Shapawi.

Dalam memorandum itu, Pemuda PAS menggesa semua penganjuran konsert mematuhi garis panduan PUSPAL dan meminta agensi itu memberikan perhatian serius terhadap penerimaan artis luar negara.

Malaysiakini difahamkan memorandum yang ditujukan kepada Pengerusi PUSPAL Datuk Kamaruddin Siaraf itu diserahkan sendiri oleh Azman Shapawi di pejabat agensi bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...