Sunday, December 4, 2011

Ambil iktibar kebocoran kilang Lynas di Australia

KUANTAN, 2 Dis: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) menggesa kerajaan ‘membuka mata’ dengan berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Concentration Plant Lynas di Mt Weld, Australia baru-baru ini kerana kedudukan kilang Lynas Advanced Materials Plant (Lynas) di Gebeng nanti dijangkakan akan membawa bahaya yang jauh lebih tinggi.

Menurutnya, ini disebabkan kandungan radioaktif pada sisa pejal di Mt Weld ialah pada kadar 1.8 Bq|g sedangkan radioaktif sisa pepejal yang dijangkakan terhasil kilang itu di Gebeng ialah pada kadar 6 Bq|g.

Tambahnya, kadar maksimum yang diterima antara bangsa pula ialah 1 Bq|g dengan Malaysia sendiri turut menerima pakai standard antara bangsa tersebut.

“Bukan itu saja, dalam jarak 30 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak wujud penduduk di sana sedangkan dalam 30km radius di Gebeng ada terdapat 700,000 penduduk.

“Sementara dalam jarak 25 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak terdapat air bawah tanah sedangkan di Gebeng, kedudukan Lynas di Gebeng terletak di atas tanah gambut yang paras airnya lebih tinggi daripada paras air biasa dan sungai Balok berkedudukan disebelah Gebeng.

“Lynas Gebeng juga terletak dalam lingkungan 5 kilometer dari Laut China Selatan, bersebelahan pusat peranginan Cherating yang menjadi tumpuan destinasi pelancong sementara perairan tersebut juga merupakan sumber hasil ekonomi tempatan di mana industri perikanan juga merupakan sumber ekonomi utama,” katanya.

Tambah Fuziah, sebarang kebocoran jika berlaku di Lynas akan meninggalkan impak yang bakal memusnahkan alam sekitar serta ekonomi di samping kesihatan penduduk kerana tiada industri yang bebas seratus peratus daripada kemalangan termasuk Lynas terkecuali.

Katanya, selama ini Lynas berselindung di sebalik Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang seolah-olah menjadi ‘jurucakap’ mereka.

“Saya tegaskan bahawa Lynas tidak wajar berada di Gebeng kerana situasi di Gebeng sekali-kali tidak akan menepati segala aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa.

“Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan, Datuk Rebecca Sta Maria yang menyatakan bahawa Lynas mesti mematuhi peraturan sebelum lesen pra-operasi boleh di keluarkan keatas LAMP ketika beliau melawat kilang itu di Gebeng kelmarin.

“Janganlah cuba mengulangi kesilapan di tempat lain yang hanya akan menjadikan penduduk di Gebeng dan sekitarnya menjadi mangsa,” katanya.

Beliau turut kesal sebelum ini pihak kerajaan cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa sisa dari Lynas adalah selamat sehingga boleh ditabur merata-rata dan percaya maklumat tersebut merupakan input daripada Lynas semata-mata.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...