Wednesday, September 22, 2010

Royalti: Tok guru pondok bermunajat di Mekah

Exco perancangan ekonomi, kewangan dan kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa menyeru rakyat bersama-sama bermunajat bersama 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh pelusuk negeri berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas, lapor Suara Keadilan.

Husam menerusi twitternya berkata sebuah laman web, www.munajatroyalti.com serta laman sosial facebook - www.facebook.com/pages/Misi-Munajat-Royalti-Rakyat telah diwujudkan bagi rakyat melayari dan seterusnya menyatakan sokongan mereka kepada usaha itu.

Menurut laman itu, kutipan derma telah dilancarkan bagi menampung kos membawa 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat secara khusus selama 40 hari dan 40 waktu di Mekah.

Majlis membaca doa dan beribadah di kota suci itu bertujuan untuk memberi sokongan spiritual kepada seluruh rakyat negeri itu berhubung tuntutan berkenaan.

"40 ulamak dan tok guru pondok dari seluruh Kelantan akan bermunajat untuk memohon kerahmatan dan kesejahteraan khusus buat rakyat negeri Kelantan semuanya dan untuk seluruh rakyat Malaysia amnya.

"Tujuan kami adalah untuk mempertahankan dan memartabatkan kepimpinan ulamak, alim ulama dan ahli agama di dalam kehidupan hal ehwal seharian kita sebagai umat Islam," menurut laman itu.

Tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005 dan sehingga tahun ini jumlah terkumpul dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion.

Kerajaan negeri Kelantan mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan - Thailand, Kelantan - Vietnam dan Kelantan - Terengganu.

Berikutan dinafikan royalti minyak itu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Tuesday, August 24, 2010

'Ketua Pemuda Pas Pusat: Nikah gantung tangani kemaruk nafsu, buang bayi'

Proses perkahwinan yang digalakkan oleh Islam sewajarnya dipermudahkan agar generasi muda tidak liar dan kemaruk nafsu, lalu
terjebak dalam kancah seks bebas, kata ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan.

Menurut, langkah memudahkan proses perkahwinan boleh dilakukan oleh pihak berwajib, antaranya dengan:

# Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin.
# Memberi insentif sebagai galakan berkahwin.
# Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan.
# Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma.
# Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan.
# Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan.
# Merendahkan hantaran perkahwinan.

"Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai nikah gantung," kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Cuma bezanya, tegas beliau, ialah pasangan pengantin tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti:

# Masih menuntut di kolej atau univerisiti.
# idak mempunyai kemampuan menyewa rumah.
# Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga.

Nasrudin berkata, kelebihan nikah gantung ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara.

"Andainya dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, belajar bersama, bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, mka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.

"Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan).

"Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah," tambahnya .

Menurutnya lagi, kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit.

"Malah mereka juga takut untuk kembali ke pangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama .

"Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara," tegasnya lagi.

Thursday, August 5, 2010

Saman Ekor: Pas dakwa Pemuda Umno Lembab..

Walaupun berkongsi pendirian yang sama, PAS tidak akan mengajak Pemuda Umno turut sama dalam kempen anti-saman ekor.

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sebaliknya menempelak pergerakan itu sebagai lembab.

"Pemuda Umno ini lembab.

"Amat malang, orang sudah lama bincang dia baru bersuara," katanya.

Sehubuhan itu, Mahfuz yang juga pengerusi kempen anti saman ekor (KASE) berkata pihaknya tidak perlu mengajak Pemuda Umno turut serta dalam kempennya.

"Tak apalah. Biarlah dia (Pemuda Umno)," katanya dalam sidang media di kementerian pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Semalam, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata amalan saman ekor tidak adil dan patut dimansuhkan kerana mengandaikan seseorang itu bersalah tanpa diberikan peluang membela diri.

Khairy mengeluarkan kenyataan tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan 14 pengusaha bas dan teksi di PWTC.

Sebelum itu, PAS lebih awal mengumumkan kempen anti-saman ekor, antaranya mendesak pelbagai pihak memansuhkan saman ekor dan menghentikan amalan menyenerai-hitamkan pengguna kenderaan.

Tindakan kerajaan itu dianggap parti Islam itu sebagai tidak berperlembagaan dan menafikan hak pengguna daripada menggunakan kenderaan sebagai harta persendirian.

Thursday, July 15, 2010

MB: TPM subahat jika tak tangkap pencuri pasir

Selangor telah menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon kerjasama timbalan perdana menteri itu dalam menangani isu kecurian pasir di negeri itu, kata menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, surat yang sama telah dihantar hari ini kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta ketua polis negeri Datuk Khalid Abu Bakar.

"Saya telah hantar surat kepada timbalan perdana menteri untuk jelaskan isu kecurian pasir di Selangor dan jemput beliau dan agensi kerajaan persekutuan untuk perangi jenayah ini.

Tambahnya, turut disertakan dalam surat tersebut ialah laporan polis yang dibuat oleh kerajaan negeri berhubung kegiatan tersebut, serta penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah dijalankan Selangor dalam menangani isu berkenaan.

"

Saya juga telah sertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang telah diperolehi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) supaya timbalan perdana menteri dan agensi persekutuan seperti polis dapat membuat tindakan sewajarnya.

"Sebab dalam berita dia kata 'bila kita tahu siapa terlibat, kita akan tangkap.' Jadi sekarang kita telah beri maklumat ini kepada beliau.

"Kalau dia tidak tangkap, dia bersubahat dengan pencuri pasir pula," katanya dalam satu sidang media selepas persidangan DUN Selangor hari ini.

Jelasnya, dalam surat berkenaan juga beliau menjelaskan bahawa usaha yang dijalankan kerajaan negeri itu termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai setiausah kerajaan negeri.

Satu lagi langkah yang diperkenalkan ialah menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang membantu dalam usaha menahan penjenayah berkenaan.

Khalid berkata sistem yang diamalkan Selangor sekarang berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta pada 2007 kepada RM6.3 juta pada 2008.

Katanya, jumlah tersebut semakin meningkat kepada RM5.4 juta pada 2009 dan RM10.3 juta setakat Jun tahun ini.

Menurutnya lagi, sebagai langkah susulan, beliau juga akan mengumumkan senarai individu yang diberikan lesen melombong pasir oleh kerajaan BN sebelum ini.

Jelasnya, walaupun langkah tersebut diketahui tidak akan disenangi beberapa pihak, namun ia perlu dilakukan bagi membolehkan individu tersebut dinilai sama ada mereka layak menerima lesen berkenaan.

Ujarnya, beliau juga berharap pemimpin Umno tidak hanya menimbulkan isu kecurian pasir bagi tujuan politik.

"(Saya) berharap agar dokumen yang diberikan adalah memadai untuk timbalan perdana menteri memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara profesional.

link/ sumber

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...