Tuesday, October 19, 2010

Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan

KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.

Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

“Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

“Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk’ Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat.

Sunday, October 17, 2010

500 sertai demo bantah roboh surau, Pasti

BUKIT KATIL, 16 Okt: Demonstrasi aman anjuran Badan Bertindak Perobohan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Surau Bukit Katil semalam berjaya memberikan gambaran kepada pihak berkuasa bahawa rakyat menolak kezaliman dan penindasan.

Mereka bukannya menolak pembangunan tetapi pembangunan itu mestilah memberikan manfaat serta tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

Tindakan kerajaan BN Melaka yang dilihat sengaja mengambil tapak Pasti dan surau untuk dibuat jalan menimbulkan kemarahan penduduk Kampung Bukit Katil kerana bagi mereka kerajaan boleh mengambil tanah kosong yang ada di kawasan lain untuk dibuat jalan.

Malah tindakan itu juga disifatkan tidak logik kerana jalan yang akan dibina adalah bengkok berbanding cadangan asal yang lebih lurus.

Demonstrasi semalam dikatakan berjaya kerana berjaya mengumpulkan kira-kira 500 orang penduduk setempat dan kawasan sekitarnya termasuk tuan-tuan tanah yang terlibat.

Demo yang diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Bukit Katil petang tadi telah diganggu oleh pihak polis selepas hanya kira-kira lima minit dimulakan.

Polis meminta pihak penganjur menghentikan program tersebut atas alasan mengganggu ketenteraman awam dan tiada permit.

Dalam ucapan ringkas, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mahu berunding dengan rakyat khususnya tuan tanah kepada Pasti dan surau tersebut.

"Rundingan tidak dibuat, tiba-tiba surat sampai untuk beri pampasan. Inilah sikap rakus pihak kerajaan yang jelas tidak mengutamakan rakyat.

“Di sana ada tanah kosong yang boleh diambil untuk buat jalan mengapa tanah di sini yang diambil sedangkan tanah kosong tersebut lebih sesuai tidak melibatkan surau, Pasti dan rumah rakyat," ujarnya bersemangat.

Tindakan itu, katanya adalah perbuatan membalas dendam dan berteraskan politik serta dengki melihat kebangkitan rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek menyifatkan tindakan itu sebagai bukti bahawa kebajikan dan kedaulatan rakyat telah hapus dengan penguakuatsaan Akta Tanah yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat atas nama pembangunan.

"Rakyat sudah tidak ada kuasa dan hak ke atas tanah milik mereka sendiri, bila-bila masa kerajaan boleh ambil dan ianya sukar dicabar di mahkamah," ujarnya.

Semua pemimpin utama PR negeri hadir antaranya Pengerusi DAP, Goh Leong San; Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin.

Thursday, October 14, 2010

Pemuda PAS, siswa turun bantah konsert Lambert

Dewan Pemuda PAS dan aktivis mahasiswa akan turun beramai-ramai ke Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini bagi membantah persembahan konsert artis 'gay', Adam Lambert.

Pegawai media Dewan Pemuda PAS, Fadhil Osman berkata, pihaknya menyeru ahli dan penyokong parti itu supaya turun beramai-ramai bagi menjayakan protes tersebut.

"Kami akan mengedarkan kira-kira 5,000 risalah membantah konsert Adam Lambert," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan satu solat hajat di surau berdekatan stesen STAR Bukit Jalil, diikuti dengan ucapan barisan kepimpinan Pemuda PAS, membantah konsert tersebut.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Solidiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengerahkan kira-kira 500 siswa di sekitar Lembah Klang untuk hadir membantah konsert tersebut.

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman berkata, bantahan malam ini akan diketuai oleh pengerusi majlis politik nasional Gamis, Ahmad Shukri Razak.

Ditanya mengenai bantahan yang sama oleh Pemuda PAS, beliau berkata, perhimpunan anjuran pihaknya itu akan berlangsung secara berasingan.

"Bagaimanapun, kami akan menyertai majlis solat hajat bersama Pemuda PAS," tambahnya.

Mohd Ridzuan berkata, risalah juga akan diedarkan kepada orang ramai yang datang ke konsert tersebut.

"Kira-kira 2,000 risalah membantah konsert itu telah dicetak untuk diedarkan malam ini," tambahnya.

Peserta perhimpunan itu juga akan membawa beberapa kain rentang membantah penganjuran konsert Adam Lambert.

Tuesday, October 12, 2010

Konsert artis 'gay': Pemuda PAS hantar memo bantah

Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum bantahan terhadap Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) kerana meluluskan konsert artis 'gay' Adam Lambert.

Menurut memorandum dua halaman yang ditandatangani oleh timbalan ketuanya Azman Shapawi Abd Rani itu, kerana ia bakal membawa "keruntuhan akhlak masyarakat", khasnya di kalngan anak muda.

"Adam Lambert adalah seorang artis yang secara terbuka, bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseksual tetapi beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya," memorandum itu dipetik.

Konsert sulung Lamber berjudul 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dijadual berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil.

Menurut Azman Shapawi seharusnya peka dengan perkembangan budaya songsang itu kerana di msyarakat Barat sendiri didakwa menolak artis pop Amerika Syarikat itu.

Beliau juga menyatakan kekesalannya kerana pada hari yang sama seorang artis 'nasyid' popular Sweeden Maher Zain mengadakan persembagan di Shah Alam tidak diberikan tempat.

"Fakta dan nasihat yang bagaimana lagi mahu diberikan kepada pihak kerajaan agar menginsafi bahawa program seperti inilah yang akhirnya merosakkan akhlak generasi kita sekali gus membawa budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan fitrah?" soal Azman Shapawi.

Dalam memorandum itu, Pemuda PAS menggesa semua penganjuran konsert mematuhi garis panduan PUSPAL dan meminta agensi itu memberikan perhatian serius terhadap penerimaan artis luar negara.

Malaysiakini difahamkan memorandum yang ditujukan kepada Pengerusi PUSPAL Datuk Kamaruddin Siaraf itu diserahkan sendiri oleh Azman Shapawi di pejabat agensi bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran.

Friday, September 24, 2010

PEMAKLUMAN IJTIMAKTARBAWI DEWAN PEMUDA PAS


Penyertaan wajib kepada semua Exco DPPP , Exco DPP Negeri , Ajk DPP Kawasan dan ianya turut dibuka kepada mahasiswa\i dalam dan luar negara serta para pemudi [ akhawat ] dengan terlebih dahulu mendaftarkan diri ke pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri atau direct kepada Sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat di pejabatnya . Insyaallah mekanisme pendaftaran secara online sedang disiapkan . [ Jika lambat , akhawat disarankan daftar segera ke pejabat DPP Negeri atau Pusat.

Tentatif

01 Oktober 2010 [ Jumaat ] ~ kandungan ~

04.00 pm - 06.30 pm : Pendaftaran Masuk
06.30 pm - 07.30 pm : Taklimat , al Ma'thuuraat & solat maghrib berjamaah
08.00 pm - Taujihat Tarbawi oleh :
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

~ Solat Isyak dan Makan malam ~

10.15 pm : Majlis Perasmian oleh :
YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat [Al Mursyidul Am PAS] .

02 Oktober 2010 [ Sabtu ] ~ kandungan ~

Qiamulail dan Bicara Subuh

Tafsir Al Hujurat 1 [6.15 am] dan Tafsir Al Hujurat 2 [8.00 pm] oleh :
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang [Presiden PAS]

Kertas 1 : PAS & Tarbiyah Islamiyyah oleh :
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Yahya Othman

Ulasan 1 : Pengukuhan PAS melalui Tarbiyah oleh :
Al Fadhil Yb. Ust Nasharudin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]

Pidato Tarbawi 1 : Tarbiyah Jihadiyah dan Pilihanraya oleh :
Al Fadhil Ustaz Dato' Abu Bakar Chik

Forum Tarbawi 1 : Memupuk Budaya Tarbiyah dalam PAS oleh :
Yb. Hj Salahudin Ayub [ Naib Presiden PAS ]
Ustaz nasrudin bin Hj Hassan At Tantawi [ Ketua DPP Pusat ]
Ustazah Hajjah Nuridah binti Mohd Salleh [ Ketua DMP Pusat ]

Pidato Tarbawi 2 : Tarbiyah Jihadiyah dan Palestine oleh :
Wakil Gerakan Islam Luar Negara
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Hj Harun Din [ Timbalan Mursyidul Am PAS ]
Yb. Dato Hj Mahfuz Omar . [ Naib Presiden PAS ]

03 Oktober 2010 [ Ahad ] ~ kandungan ~

Qiamulail dan solat fardhu berjamaah

Tafsir Al Hujurat 3 ~ khatam ~ [ 6.15 am ] oleh :
Yb Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ]

Kertas 2 : Tarbiyyah Al Harakiyyah oleh :
Al Fadhil Yb. Tuan Guru Dato' Hj Harun Taib [ Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat ]

Ulasan 2 : Mengukuh Amal Jamaei oleh :
Al Fadhil Ustaz Idris Hj Ahmad

Forum Tarbawi 2 : Tarbiyyah dan Dewan Pemuda PAS oleh :
Al Fadhil Ustaz Hj Zulkifli Ismail [ DUP ]
Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani [ DPP Pusat ]
Al Fadhil Ustaz Hj Ahmad Yahya [ DPP Kedah ]

Ikrar Ijtima' : Pengarah Ijtima'

Penutup [ 12.30 pm ] oleh : Yb Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...