Wednesday, November 4, 2009

Ceramah Hj Mohd Sabu di Cendering


Oleh Abu Syifa.

Malam tadi berlangsungnya ceramah perdana yang disampaikan oleh Hj Mohd Sabu AJK Pas Pusat di Kg Cendering , Kuantan. Ceramah yang dianjurkan oleh Pas Kawasan Paya Besar yang dihadiri telah dihadiri oleh begitu ramai penyokong Pas dan juga penduduk setempat. Peniaga tidak melepaskan peluang untuk mencari rezeki setiap kali ada ceramah.

Majlis telah dipegerusikan oleh Ustaz Ishak merangkap Naib YDP Paya Besar. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Ustaz Yusuf Embong Timbalan PJ Pahang merangkap YDP Kawasan Paya Besar. Beliau telah menyentuh prihal pergolakkan yang berlaku didalam Pas dan menyatakan itu adalah sebagai satu ujian dari Allah SWT. Penceramah kedua ialah Suhaizat Kayat Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat. Beliau banyak menyentuh mengenai Penguandian Pos di Bagan Pinang. beliau menegaskan yang undi pos merupakan satu aset yang aling berguna kepada Umno, dimana Perdana menteri sendiri merupakan seorang pemimpin yang kemenangannya hasil dari aset tersebut.

Suhaizat juga menceritakan pengalaman beliau semasa membawa rombongan berjumpa dengan SPR untuk menyatakan bantahan dengan undi pos. Telah banyak perkara yang dibuat termasuklah membawa saksi untuk meneguhkan hujah kepada SPR namun dipandang sepi oleh SPR. Beliau juga menegaskan bahawa ada pernipuan yang berlaku dimana borang mengundi atau kertas undi boleh diserahkan dimana sahaja termasuklah di tempat awam seperti di depan pasaraya. Beliau juga menyentuh prihal isu semasa yang menyebabkan perselisihan faham diantara pemimpin Pas. Beliau menegaskan bahawa apa yang berlaku adalah satu perkara yang baik untuk Pas, kerana Pas mengamalkan penerimaan kritikan secara terbuka. EGM telah digantikan dengan seminar dimana akan dijemput salah seorang pemberi pandangan mengenai Pas Prof Aziz untuk membentangkan apa sahaja permasalahan yang dilihat oleh beliau dalam Pas dan ini membuktikan keterbukaan Pas.

Penceramah utama Hj Mohd Sabu AJK Pusat memulakan ceramahnya dengan membalas pantun yang dijual oleh Ustaz Ishak. Beliau yang nampak agak cergas telah menyampaikan ceramahnya dengan begitu bersemangat sekali. Beliau menekankan tentang ketelusan agensi-agensi kerajaan yang dilihat semakin diragui akan ketelusan dan banyak yang telah dinaikkan taraf seperti Suruhanjaya Pencegah rasuah yang kini dibawah Yang Dipertuan Agong. Tetapi setelah dinaikkan taraf tapi rasuah masih dan terus naik angka jumlah rasuah didalam negara.

Abang Mat Sabu juga menegaskan yang rakyat Pahang harus berubah dan juga kepada seluruh rakyat dinegara ini untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya yang akan datang. Berubah kepada memilih pakatan rakyat dan diuji selama sepenggal dan jika mereka gagal dan masih lagi ada kepincangan maka bolehlah ditukar sekali lagi kepada Bn dan seterusnyalah sehinggalah kita dapat apa yang terbaik untuk rakyat.

Tuesday, November 3, 2009

MEMPERTEGUH TARBIYAH PAS, MEMPERKASA PAKATAN RAKYAT!

Ketika kecil dahulu, saya (dan mungkin juga ramai di kalangan kita)sekadar mengetahui bahawa saya Islam lantaran kedua ibu bapa saya adalah orang Islam. Saya Islam kerana keluarga dan datuk nenek moyang saya adalah seluruhnya Islam. Saya Islam juga kerana bumi tanah tumpah saya ini adalah bumi warisan orang Islam. Hari ini ia dipanggil ISLAM BAKA atau ISLAM WARISAN.

Ketika itu Islam bagi saya hanyalah masjid dan surau. Islam adalah majlis marhaban dan cukur kepala apabila berlakunya kelahiran baru. Islam adalah bersunat ketika sampai masanya. Islam adalah kenduri tahlil doa selamat sempena naik rumah baru dan sebagainya. Islam juga adalah berkaitan wali hakim atau nikah kahwin. Setahun sekali berpuasa Ramadhan dan sembelih korban. Paling akhirnya, Islam adalah pengurusan jenazah atau kenduri tahlil arwah. Itulah persekitaran Islam yang kebanyakan dari saya dan kawan-kawan faham ketika kecilnya dahulu. Ketika itu kami bingung, apa kena dengan Pas dan Umno? Sama-sama Islam tetapi bergaduh! Arqam, Jim, Abim, Tabligh ni apa benda pulak?

Lalu kami melalui proses memahami Islam sedikit demi sedikit. Kefahaman itu sedikit sebanyak kami dapati dari kuliah-kuliah maghrib para ustaz, tok guru dan alim ulamak penggerak Pas di kampung halaman tempat tinggal ketika kecil. Sebahagiannya didapati dari mendengar kaset-kaset ceramah khususnya kuliah Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selain dari menghadiri ceramah-ceramah politik yang diadakan rancak di awal tahun 90-an.

Di peringkat ini, saya semakin faham Islam dan mengetahui mengapa Pas melawan Umno. Kefahaman ini diperkasakan lagi melalui bacaan Harakah, buku-buku terbitan Pas dan akhirnya melalui penyertaan aktif ke dalam usrah Pas ketika di alam kampus. Penglibatan di alam kampus ini menjadikan proses peningkatan kefahaman dan penghayatan Islam lebih tersusun. Kami ditarbiyah oleh para murabbi Pas di kampus-kampus dengan marhalah atau peringkat demi peringkat. Di fasa ini saya berpeluang untuk menyusun kembali kefahaman islam dan perjuangan Islam secara lebih sistematik. Berikut adalah topic fikrah tarbiyah Islam yang saya lalui dalam Pas :

Antara Topik Pengisian Dalam Usrah dan Gabungan Usrah :

1. Keutamaan ilmu dan kefahaman islam

2. Syahadatain ; tuntutan dan perkara yang membatalkannya

3. Islam sebagai Ad-Deen yang syumul

4. Tazkiyah An-Nafs ; kepentingan, wasilah dan halangannya

5. Fiqh Ad-Dakwah

6. Khilafah Islamiyyah ; faktor kejatuhan dan kewajipan menegakkannya

7. Sejarah & perkembangan gerakan Islam sedunia

8. Sejarah Perjuangan PAS dan sumbangannya

9. Kewajipan intima’ (bergabung) dengan jamaah Islam\

10. Kenapa saya bersama PAS

11. Tasawwur Tarbiyah Islamiyyah Harakiyyah

12. Prasyarat kejayaan Harakah Islamiyyah

13. Ikhlas dalam perjuangan

14. Jihad dan dan pengorbanan dalam Islam

15. Istiqamah dalam perjuangan

16. Golongan yang tercicir di jalan dakwah

17. Kepentingan Ukhuwwah Islamiyyah

18. Demokrasi pilihanraya dalam pendekatan perjuangan

19. Konsep Negara Islam dan Matlamatnya

20. Tahalluf dalam Islam


Antara Topik Pengisian Di Dalam Tamrin, Ijtimak atau Liqa Fikri :


1. Aqidah dan perjuangan

2. Memahami Konsep Ibadah Dalam Islam

3. Keperibadian dan Akhlak Islam

4. Usrah sebagai tunjang jamaah

5. Konsep Amar Makruf dan Nahi Mungkar

6. Pembentukan Rumahtangga Islam

7. Pertentangan antara Islam dan Sekuler

8. Fiqh Amal Islami

9. Konsep amal jamaie dan amal ijtimaie

10. Ta’adud Jamaah ; faktor, kesan dan penyelesaiannya

11. Akhlaq dan disiplin dalam jamaah

12. Memahami konsep sirr dan hazar

13. Bai’ah dan tuntutannya

14. Mehnah dan Tribulasi dalam perjuangan

15. Usul Isyrin – Usul 1-20

16. Memahami Konsep Wala’ & tuntutannya

17. Memahami perlembagaan dan struktur organisasi PAS

18. Kepimpinan ; antara beban amanah & kebanggaan

19. Memahami Fiqh Aulawiyyat

20. Memahami Fiqh Waqie’

21. Memahami Fiqh Ikhtilaf

22. Peranan Naqib Dalam Tarbiyah

23. Usrah Yang Berkesan

24. Perlaksanaan Usrah Yang Efektif

25. Peringkat Amal Islami


Kami yang mendapat tarbiyah Pas samada melalui jalan tarbiyah di peringkat kampus ataupun di peringkat akar umbi parti iaitu di cawangan dan kawasan dihadhamkan dengan topic-topic di atas. Selain itu, kami MENIKMATI NIKMAT UKHUWWAH dalam pertemuan-pertemuan tarbiyah samada melalui mekanisme USRAH, TAMRIN, IJTIMAK, LIQA FIKRI, MUKHAYYAM, DAURAH, HALAQAH, MABIT dan sebagainya.

Ia menjadikan kami faham bahawa penglibatan kami di dalam Pas buka sahaja dan semata-mata sebagai ahli sebuah PARTI POLITIK yang menyertai SISTEM DEMOKRASI PILIHANRAYA, tetapi lebih dari itu kami adalah anggota dan tentera kepada sebuah JAMAAH ISLAM atau HARAKAH ISLAMIAH yang setara dengan jamaah-jamaah islam di seluruh dunia dengan cita-cita dan matlamat yang sama.

Ia membentuk hubungan yang sangat unik antara sesama kami (ahli Pas yang ditarbiyah) dan antara kami dengan pimpinan. Bagi kami pimpinan tertinggi Pas bukan semata-mata seorang pemimpin politik dalam sebuah Parti yang demokratis tetapi lebih dari itu adalah berperanan sebagai BAPA bagi kami. Hubungan sesama anggota pula ialah seperti BERSAUDARA. Apabila kami menghayati dan melalui fasa pentarbiyahan ini, ia menjadikan kami sangat KASIH, TAAT, SETIA, PERCAYA dan BERSANGKA BAIK terhadap pimpinan.

Demikianlah juga, kami dihadhamkan dengan AKHLAK dan ADAB dalam berjamaah dan kepada pimpinan. Apabila anda telah menanggapi pimpinan seperti IBU dan BAPA kepada anda, maka cara menegur dan mengkritiknya juga mestilah dengan akhlak selaku seorang anak. Kecualilah anda seorang bekas Umno yang belum ditarbiyah dengan akhlak berjemaah dalam Pas, atau anda adalah anggota jamaah lain yang menganggotai Pas hanya sebagai sebuah parti politik kerana kasih, taat, setia dan percaya anda hanyalah kepada pimpinan jamaah anda yang sebenar!

Sebab itulah, apabila zahir seperti berlakunya pertentangan antara pimpinan, ia amat mencemaskan kami, seperti mana cemasnya sebuah KELUARGA yang SUAMI dan ISTERI atau IBU dan BAPA sedang menghadapi krisis dan konflik. Mungkin sahaja menatijahkan penceraian yang boleh memporak porandakan RUMAHTANGGA kami (Pas). Sebab itu, apabila berlaku konflik (atau seperti konflik), kami akan segera refleks bahawa di sana ada pihak ketiga yang berkepentingan sebagaimana konflik yang dizahirkan di antara Saidina Ali dan Saidatina Aisyah atau di antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah. Bagi kami yang meneliti sirah, pertembungan yang berlaku di antara tokoh-tokoh tersebut bukanlah disebabkan oleh kedua tokoh ini, tetapi disebabkan api pergeseran yang dimarakkan oleh golongan ketiga iaitu golongan pemberontak dari Iraq yang berasal dari kalangan Yahudi yang menyelusup masuk ke dalam kumpulan umat islam. Di samping ia semakin cepat berkembang kerana adanya umat Islam yang cepat melatah dan terlebih bereaksi lantaran taksub kepada tokoh-tokoh tersebut.

Cumanya, dalam krisis kepimpinan parti (yang bagi kami sebenarnya tak lah berkrisis mana sangat, lebih kepada berbeza pandangan dan masalah komunikasi), kami lebih cenderung untuk menganggapnya sebagai ada campurtangan pihak ketiga. Persoalannya siapa? Yahudi? Unit Saraf Umno? Anai-anai? Kami sendiri pun tak pasti. Kami tidak mahu bersangka buruk sesama anggota jamaah. Tapi kami percaya, jika ia benar-benar wujud, Allah akan menapisnya dari kalangan kami, InsyaAllah.

Oleh yang demikian, demi pemantapan dan pengukuhan Pas sebagai sebuah parti dan jamaah dakwah, tarbiyah dan siasah, usaha PENGTARBIYAHAN ahli-ahli yang semakin ramai adalah suatu tuntutan yang tidak boleh lagi dikompromikan. Jangan biarkan jamaah kita tergugat lantaran ramainya anggota yang tidak ditarbiyah mendominasi parti atau pimpinan di mana-mana peringkat. Betul, kita memerlukan ahli yang ramai untuk meningkatkan kekuatan kita sebagai parti utama dalam PAKATAN RAKYAT, tetapi kita juga sangat dan amat memerlukan ahli-ahli yang berkualiti. Ahli-ahli yang berkualiti dalam Pas tidak berlaku dengan semata-mata kemasukan mereka ke dalam Pas, tetapi berlaku dengan aktiviti pengtarbiyahan diwajibkan dan diagendakan ke atas mereka. Inilah KEUTAMAAN parti antaranya ketika ini. Saya berharap, ada pihak yang akan memberi penekanan secara khusus dan serius tentang topic ini dalam rangka memperkasakan penglibatan Pas dalam Pakatan Rakyat di SEMINAR anjuran Pas pada 7hb November ini. Semoga Pas terus sukses! Allahuakbar!


Abu Amirah As-Salimbari, Pahang.

Monday, November 2, 2009

Jais dibidas, tiada pertuduhan!


Harakahdaily melaporkan.....

Terkini 11.00 pagi:|GOMBAK, 2 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin akan menunggu di Mahkamah Syariah sehingga jam 1 petang nanti untuk menunggu pertuduhan ataupun dokumen berkaitan difailkan ke atasnya.Sebelum ini, Dr Asri yang tiba di mahkamah sejak jam 9 pagi tadi diberitahu tiada pertuduhan difailkan.

Demikian siri episod tangkapan terhadap Dr Asri yang dianggap aneh oleh pelbagai pihak hari ini apabila diberitahu bahawa tiada pertuduhan atau dokumen berkaitan difailkan pagi ini.

Dr Asri dilihat tiba pada jam 9 pagi tadi kerana diarahkan untuk hadir di mahkamah atas alasan secara lisan oleh pihak Jais bahawa beliau mengajar tanpa tauliah.

Dalam kejadian malam tadi,beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Namun,Dr Asri yang ditahan tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi. Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini.

Di pekarangan mahkamah sebentar tadi, Dr Asri menbidas sikap pihak berkuasa dan pendakwa yang tidak hadir lagi sehingga kini.

Menurutnya, tindakan tidak profesional ini menyebabkan membuang masa beliau, para penyokongnya, termasuk wakil-wakil rakyat (Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin) dan wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.Turut kelihatan di pekarangan mahkamah yang memberikan sokongan kepada beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, Marina Mahathir dan Zainah Anwar (SIS).

Ketika ini, Dr Asri berada di luar mahkamah dan sedang berbincang dengan wakil NGO dan wakil-wakil rakyat.

Beliau difahamkan akan bertemu dengan Datuk Jamil Khir sebentar lagi.

Hampir 100 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada beliau termasuk puluhan wartawan.

Ketika ini, Dr Asri sedang menunggu di dalam Mahkamah Syariah dan beliau berkata akan menunggu pertuduhan sehingga jam 1 petang nanti._

Saturday, October 31, 2009

Selamat menunaikan Ibadah Haji.......Timb. Ketua DPP Paya Besar

Oleh Abu Syifa.

Keberangkatan Timbalan Ketua DPP Paya Besar untuk mengerjakan ibadah Haji dan diringi oleh AJK Pemuda dan Juga kenalan di Kuantan Airport. Beliau akan bermalam dirumah adiknya di Kuala Lumpur dan akan pergi ke Kelana Jaya esok pagi sebelum berlepas ke Mekah untuk menyepurnakan ibadah islam yang kelima itu. Kami Dewan Pemuda Pas Paya Besar mengucapkan Selamat berangkat dan supaya beliau dapat haji yang yang sempurna dan diharap beliau mendoakan kami di hadapan kaabah agar kami pula dipanggil oleh Allah untuk menunaikannya pula.



Berkumpul dan mengucapkan selamat berangkat kepada Timbalan Ketua DPP Paya Besar.

Thursday, October 29, 2009

Patuhi Keputusan Mesyuarat....Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man


Jawatankuasa Disiplin Parti memandang serius beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu. Semua laporan ini sedang dipantau bagi meneliti sejauh mana segala pertuduhan yang dilemparkan sehingga mencetuskan kegawatan, sebelum mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat pada malam ini.

Jawatankuasa Disiplin parti menyambut baik saranan Dewan Pemuda agar Jawatankuasa ini dipertingkatkan. Namun perlu diingat bahawa jawatankuasa Disiplin Parti hanya boleh bertindak sekiranya ada laporan rasmi kepada parti. Segala kenyataan umum melalui akhbar atau blog tidak boleh dianggap sebagai laporan rasmi. Semua pertuduhan yang dibuat mestilah disokong dengan pembuktiaan. Bukan hanya dengar cakap atau hanya melalui beberapa blog tertentu sahaja.

Sehingga kini, Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi, dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakana satu lagi yang sedang diteliti oleh jawatankuasa. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas.

Sehubungan itu, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada. Kita mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu yang berlaku dalaman parti. Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

Perlu diingat bahawa Jawatankuasa Disiplin memandang serius beberapa tindakan bagi membincangkan semula sesuatu yang telah diputuskan dan dianggap telah selesai. Lantaran itu, sekiranya ada dikalangan ahli biasa atau pimpinan yang cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan. Awasilah media perdana yang berusaha melaga-laga pimpinan, dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan selah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain. Kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan kita dan merosakkan hubungan baik serta setiakawan kita dalam Pakatan.


Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...