Klpos melaporkan.....
SEGALANYA telah terjawab, penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ditetapkan pada 3 Oktober depan manakala pengundian pula ditetapkan pada 11 Oktober 2009.Namun, pembangkang telah melepaskan ‘serangan bom’ pertama berhubung dengan isu pengundi pos berjumlah 4,604 yang dituntut agar mengundi pada hari yang sama dengan pengundi berdaftar lainnya kerana mendakwa wujudnya penipuan dalam proses undian secara pos.
Semasa mengumumkan tarikh penamaan dan pengundian DUN Bagan Pinang, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang diajukan persoalan berkenaan menegaskan, pengundi pos yang berdaftar tetap akan melaksanakan tanggungjawab mereka seperti mana amalan biasa.
Ini bermakna SPR tetap akan meneruskan sistem undi pos dan tidak akan mengubah sistem itu seperti yang dituntut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Jika mereka semua keluar mengundi pada hari pengundian siapa pula hendak menjaga keamanan,” katanya.
Mengenai tuduhan kemungkinan berlakunya penipuan dalam amaln undi pos, Abdul Aziz berkata, “Mustahil boleh tipu dan tak mungkin ia boleh berlaku! Undi pos tidak boleh dibuat sesuka hati dan hanya yang layak boleh mengundi. Setiap undi pos mesti dilampirkan bersama borang pengesahan saksi. Malah setiap parti dijemput menghantar wakil mereka memerhatikan proses pengundian itu,” katanya.
Menjawab soalan wartawan pada sidang media di pejabatnya, Isnin, Aziz berkata kotak berisi undi pos itu juga dikunci dan dikawal rapi oleh pegawai-pegawai SPR dan polis dari tarikh pengundian sehinggalah tarikh pengiraan.
Aziz turut mengumumkan SPR melarang parti-parti politik menggunakan alat pembesar suara, hailer mahupun alat muzik sepanjang kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Bagan Pinang yang akan berlangsung pada 11 Oktober depan. Penggunaan simbol-simbol parti di kenderaan juga ditegah.
Aziz turut mengingatkan parti-parti yang bertanding untuk mematahui larangan mendirikan “barong” atau pondok panas.
“Saya mahu menekankan kepada semua parti politik dan penyokong supaya mematahui akta Kesalahan Pilihanrya 1954 yang melarang mereka mengadakan sebarang bentuk perjumpaan, perhimpunan, syarahan, serta pertunjukan atau hiburan terbuka.
“SPR juga melarang sesiapa membekalkan atau menggunakan alat muzik atau pembesar suara dengan apa cara sekalipun termasuk digunakan di dalam atau atas kenderaan atau binatang dengan tujuan menyampaikan dakyah politik.
“Kami juga tidak akan teragak-agak bertindak ke atas sesiapa yang cuba menubuhkan atau menyelenggarakan pejabat atau barung atau menyewa rumah, rumah kedai, dewan atau premis lain di dalam bahagian PRK itu,” katanya.
Aziz berkata sesiapa yang melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5 ribu atau kedua-duanya sekali.
“Berdasarkan pengalaman dalam beberapa PRK yang lalu, kami sedar larangan ini perlu dikuatkuasa untuk mengelakkan sebarang kekecohan,” katanya.
Aziz berkata, daripada maklum balas semua pihak, pihaknya bersetuju mengadakan tarikh penamaan calon dilakukan pada hari Ahad dan hari pengundi pada Sabtu untuk memudahkan urusan dan menjamin peratusan undi yang lebih tinggi.
Aziz berkata pihaknya telah menerima permakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang daripada Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pada 7 September lalu. Katanya SPR telah melantik Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin sebagai pegawai pengurus PRK itu dan dibantu empat penolong dan 275 petugas.
Katanya, SPR telah memutuskan untuk menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi. Lapan buah sekolah dan 18 saluran mengundi telah dipilih sebagai pusat mengundi.
PRK Bagan Pinang (N.31) diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu dan adalah PRK yang kesembilan sejak Pilihanraya Umum (PRU) Mac tahun lalu.
Dalam PRU yang lalu Azman (BN) mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail.
Aziz berkata, terdapat 13,664 pengundi berdaftar yang mana 9060 adalah pengundi biasa dan 4604 pengundi pos. Dari jumlah itu 8577 atau 85% adalah pengundi Melayu, 2834 India (20.74%), 1498 Cina (10.96%) dan bangsa lain 755 (5.54%).
Mengikut pecahan jantina, pengundi lelaki yang berdaftar ialah 7912 atau 57.9% sementara pengundi wanita seramai 5752 (42.01%).
Golongan paling ramai mengundi kali ini ialah mereka yang berusia antara 30-39 tahun, iaitu seramai 3696 (27.05%), diikuti golongan umur 21-29 tahun seramai 3189 (23.34%); 40-49 seramai 2832 (20.73%), 50-59 – 2133 (15.61%), 60-69 – 1090 (7.98%), 70-79 – 513 (3.75%), 80-89 – 151 (1.11%), 90 tahun ke atas – 60 orang (0.44%) dan 100 tahun ke atas – 9 orang.
Bagan Pinang terletak di bawah parlimen Teluk Kemang yang diwakili oleh Datuk Kamarul Baharin Abbas dari PKR.
No comments:
Post a Comment