Harakahdaily melaporkan... | |
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu mestilah mempunyai budaya kerja untuk menjadi 'kerajaan yang ditunggu'.
Ini, katanya kerana perkembangan yang berlaku pada hari ini sangat menuntut kepada parti politik dan gerakan Islam yang disegani dalam negara kita. Tambahnya, keruntuhan sistem sekular yang mengasingkan urusan dunia dengan agama memerlukan Islam sebagai pilihan. "Sebagai wadah yang membawa Islam, PAS seharusnya disegani dan dihormati agar ianya mudah untuk diterima oleh semua pihak termasuk golongan bukan Islam," ujarnya. Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-13 yang bertemakan "Berubah Untuk Kemenangan Islam" di Markas Tarbiah PAS Kubang Lembik, Manir, hari ini. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Harun Taib dan pengarah ijtimak, Ustaz Saiful Bahri Mamat. Menurutnya, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno kini semakin hampir kepada zaman kejatuhan sebagaimana yang berlaku kepada parti-parti sezaman dengannya. Beliau mengambil contoh Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun, Parti Golkar di Indonesia dan parti-parti lain yang telah mengalami penyakit tua sebagaimana Umno dan BN di Malaysia. Tambahnya, golongan yang jatuh itu akan digantikan oleh parti yang mendapat sokongan rakyat. "Oleh itu, PAS mestilah mempunyai budaya kerja untuk menjadi kerajaan yang ditunggu," ujarnya. Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS sewajibnya menilai diri untuk menentukan keabsahannya sebagai sebuah gerakan Islam yang berkesan melalui kelayakan dan kemampuan untuk menangani gerakan dan politik semasa. "Sebagai sebuah gerakan Islam, kita perlu bertanya; pertama, adakah daya jihad dan ketekunan ahli PAS dalam perjuangan berdaya saing dan berorientasi?" ujarnya lagi. Selain itu, tanya beliau, adakah sumber manusia dan kewangannya pada tahap yang munasabah dan, ketiga, adakah penguasaan ilmu, maklumat dan kemahiran mengatasi pihak lawan. Katanya, persoalan-persoalan itu memerlukan renungan yang mendalam dan kecekalan hati untuk menjawabnya. "Insya Allah, tuan puan tidak berasa ragu sedikit pun dengan semangat dan daya juang yang ada untuk menggarap persoalan-persoalan di atas dan mengatasi kekurangannya, seterusnya berhadapan dengan mereka yang menentang dan berniat jahat terhadap kita," katanya. Tambahnya, ini bermakna untuk mendapatkan kemenangan, pejuang Islam mestilah terlebih dahulu berubah daripada negatif kepada positif, daripada maksiat kepada taat dan daripada perpecahan kepada perpaduan. Justeru, katanya, kekalahan yang menimpa jemaah Islam bukan semata-mata kerana kejahatan musuh akan tetapi juga daripada kelemahan dalam diri jemaah sendiri. _ |
Dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah Islam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta Ijmak dan Qias yang terang dan nyata
Sunday, October 18, 2009
PAS perlu jadi kerajaan yang ditunggu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment