Thursday, October 1, 2009

Isu SELCAT: PAS dakwa media cuba laga pemimpinnya

Malaysiakini melaporkan...

Isu berkaitan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat PAS, kata seorang pemimpin kanan parti itu.

Ketua penerangan PAS Idris Ahmad berkata isu itu timbul kerana giat dilaporkan media yang didapatinya cuba "melaga-lagakan" pemimpin-pemimpin parti itu.

"Sebenarnya tak ada apa, cuma perkara ini diulas dengan lama dalam media. Cuma media yang dok laga-lagakan pemimpin-pemimpin ini. Bila jumpa (bercakap dengan) orang berbeza dia akan nampak seolah-olah bertelagah dan bergaduh sesama sendiri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau juga berkata, PAS tidak pernah membuat pendirian berhubung isu SELCAT manakala pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga tidak pernah menyatakan pendirian berhubung soal berkenaan, dalam mana-mana mesyuarat PAS..

"Itu bukan pendirian PAS, kita tak pernah bincang dalam mesyuarat," katanya ketika ditanya sekiranya isu-isu berkaitan SELCAT ditimbulkan dalam mesyuarat perhubungan PAS Selangor pada Isnin.

"Dalam mesyuarat PAS tak pernah bincang, isu SELCAT tidak pernah dibincang... Setakat ini pendirian PAS berkenaan SELCAT, ia mesti diteruskan," kata Idris lagi.

"Kita setuju, siapa kata kita tidak setuju sebab ini kerajaan kita dan kita buat keputusan bersama. Cuma masalahnya hanya dari segi mekanisme pelaksanaannya (SELCAT) untuk wujudkan kerajaan yang telus. Itu memang janji kita pada masyarakat," jelasnya lagi.

Ditanya lagi mengenai kenyataan Hasan Ali yang dilaporkan telah menggesa Selcat membuat rombakan, Idris berkata: "Saya tidak boleh komen sebab tidak dengar daripada mulut dia."

"Sama ada itu pendirian peribadi atau bukan peribadi, saya tidak boleh kata sebab tidak dengar daripada ucapan mulut dia. Kita tidak pernah bincang tentang SELCAT dalam mesyuarat PAS, ini tidak ada," katanya.

Sehubungan itu, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pula menjelaskan coretan blognya yang dilaporkan Malaysiakini semalam bukanlah berkaitan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada Isnin - apabila satu pertemuan khas bersama pihak-pihak berkepentingan dengan isu berkenaan, diadakan di Shah Alam.

"Sebenarnya amat tidak wajar kalau kita sebagai seorang ahli exco yang bermesyuarat dengan exco, tiba-tiba di luar mesyuarat menyerang kembali usaha kerajaan," kata Khalid dalam tulisannya di www.khalidsamad.com itu.

"Sekiranya sebagai back-bencher, tidaklah bermasalah sangat. Samalah juga seperti seorang ahli dewan harian, bermesyuarat dengan dewan harian, tetapi di luar bantai balik dewan harian," tulisnya lagi.

Khalid menjelaskan, tulisan itu sememangnya melaporkan mengenai tindakan Hasan Ali yang mengeluarkan kenyataan tanpa mengambilkira kedudukan sebagai exco.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...