Wednesday, October 28, 2009

Pemuda PAS mahu terus terang dalam mesyuarat malam ini

Harakahdaily melaporkan....

Mesyuarat Dewan Pemuda PAS malam tadi mengambil keputusan agar semua pihak yang berbeza pendapat dalam PAS berterus terang dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Mereka meminta agar perbezaan pendapat mengenai halatuju PAS diselesaikan secara tuntas dalam mesyuarat khas itu agar ia tidak lagi berlarutan.

"Pemuda mahu semua yang kata nak bekerjasama dengan Umno jelaskan sikapnya, manakala yang dikatakan pro-Pakatan sehingga membelakangkan parti juga menerangkan sikap mereka.

"Dari situ kita minta semua mengambil pendirian bersama dalam menentukan halatuju parti," kata Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Pemuda PAS.

Mesyuarat yang dipengerusikan ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi itu juga mengambil pendirian agar Lembaga Disiplin PAS diaktifkan sepenuhnya dengan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak sahaja yang didapati bersalah dalam menguruskan parti.

Perkara ini diberitahu Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily pagi ini.

Dewan Pemuda PAS telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Mesyuarat itu diadakan bagi memutuskan pendirian Pemuda menjelang mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat diadakan malam ini ekoran tulisan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya.

Tulisan itu mencadangkan agar PAS mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa untuk memilih semula pimpinannya ekoran rasa tidak puashati beliau terhadap pimpinan yang ada.

Nik Aziz telah mengesahkan beliau akan hadir ke mesyuarat khas yang akan diadakan malam ini mulai jam 8.30 malam di Pejabat Agung PAS.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...